Sambutan Gawai Dayak Di Sarawak
02 Jun 2017 | Aktiviti TerkiniMenyingkap sejarah sambutan Gawai, pada tahun 1962 British yang enggan mengiktiraf satu hari perayaan khusus buat kaum Dayak sebaliknya mengambil ketetapan menjadikan 1 Jun sebagai Hari Sarawak untuk diraikan oleh seluruh penduduknya. Namun pasca pembentukan Malaysia 1965, tarikh sambutan hari Sarawak itu diisytihar sebagai Hari Gawai khusus untuk diraikan oleh kaum Dayak. Secara sambutan umumnya, Gawai adalah waktu untuk anak-anak Sarawak yang merantau jauh terutama dari rumah-rumah panjang, kediaman unik yang menjadi warisan Dayak, yang berselerak di pedalaman. Hari gawai memberikan mereka peluang untuk pulang menghidupkan kembali nostalgia silam sambutan pesta musim menuai.
Gawai bermaksud sambutan atau pesta yang secara umumnya disambut bagi menandakan musim menuai sudah sampai ke penghujung dan bermulanya musim baru. Selain Gawai Dayak yang diketahui ramai sebagai Pesta Menuai, terdapat pelbagai rencam upacara kebudayaan dan tradisional yang menjadi sebahagian daripada adat resam kaum Iban, seperti Gawai Kenyalang, Gawai Batu, Gawai Antu, Gawai Bersimpan, Gawai Padi dan banyak lagi.
Sambutan gawai sentiasa dipenuhi dengan nilai-nilai tradisional dan adat resam yang diwarisi dari generasi ke generasi, disulami dengan unsur-unsur mistikal dan pastinya paling meriah ia disambut di rumah-rumah panjang, semasa semua sanak saudara jauh dan dekat berhimpun. Biasanya sambutan perayaan tidak pernah terhenti sehingga keesokkan harinya, apa lagi apabila ada sesetengah rumah panjang itu menempatkan sehingga 30 keluarga. Ucapan penting di waktu ini, biar siapa sahaja yang ditemui di bumi Kenyalang ketika sambutan ini ialah "Gayu Guru Gerai Nyamai" - bahasa Iban yang bermaksud "Selamat sejahtera, semoga panjang umur, dan sihat selalu"
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: