Perasmian SARES Di Rumah Panjang Irai Binyo
22 April 2017 | Aktiviti TerkiniBINYO: Abang Johari menekan butang khas sebagai simbolik perasmian SARES di Rumah Irai, Sungai Binyo sambil disaksikan Uggah berserta tetamu kehormat lain.
SEBAUH: Kerajaan negeri mengagihkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membangunkan jaringan Internet seluruh negeri dalam jangka masa tiga tahun.
Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek itu nanti bakal memastikan seluruh kawasan negeri ini mempunyai jaringan Internet pantas sekali gus memperbaiki sistem Internet kawasan pedalaman. “Adanya sistem Internet pantas membolehkan rakyat negeri ini mendapat banyak manfaat daripadanya terutama memajukan perniagaan secara talian yang terbukti mampu mendatang pendapatan lumayan pengusaha,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Projek Janakuasa Solar (SARES) Rumah Irai Gasing, Sungai Binyo Sebauh.
Projek SARES merupakan usaha sama kerajaan dan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi membekal tenaga ke luar bandar sementara menunggu bekalan elektrik. Abang Johari menambah, perniagaaan secara talian secara tidak langsung menyuntik pertumbuhan ekonomi pendapatan isi rumah sekali gus meningkatkan tahap ekonomi dari semasa ke semasa. Beliau turut mengumum agihan bantuan sebanyak RM100,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Irai bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti melibatkan kepentingan penduduk rumah panjang berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak Energy Berhad (SEB) turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 buat JKKK Rumah Irai yang mana ianya merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat pembekal tenaga terbesar Bumi Kenyalang itu buat komuniti setempat. Terdahulu, Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom mengumum pembinaan dua menara telekomunikasi kawasan Binyo dan Pandan sekali gus memperbaiki jaringan telekomunikasi kawasan terbabit termasuk kawasan berdekatan. Jelasnya, kerajaan turut meneruskan projek pembinaan jalan raya ke kawasan Binyo dengan memperbaiki kualitinya dari semasa ke semasa demi kesenangan penduduk setempat.
“Pada masa sekarang, jalan terbabit sepanjang kira-kira 33 kilometer sedang dalam proses pembinaan serta penaiktarafan struktur yang akan dilaksana secara berperingkat-peringkat hingga siap sepenuhnya. “Ia pasti memberi keselesaan kepada penduduk setempat yang menggunakan laluan itu nanti sama ada untuk ke Pekan Sebauh, Bandar Bintulu serta kawasan berdekatan lain,” ujarnya.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: